Penubuhan Kementerian Digital merupakan langkah strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia ke arah sebuah negara digital yang menyeluruh dan berdaya saing. Antara matlamat utamanya ialah membentuk masyarakat celik digital yang kompeten (Masyarakat Digital), meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan (Kerajaan Digital) serta menggandakan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (Ekonomi Digital), sejajar dengan inisiatif sektoral melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia menggariskan pelbagai strategi yang menumpukan kepada pembinaan masyarakat celik digital, merapatkan jurang digital serta memastikan keterangkuman digital dalam kalangan semua lapisan masyarakat. Salah satu daripada enam (6) teras utama rangka tindakan ini ialah Masyarakat Digital Inklusif, yang memberi penekanan kepada peningkatan tahap literasi digital sebagai asas penyertaan rakyat dalam pembangunan ekonomi digital. Ia turut menyasarkan pemerkasaan kumpulan rentan, peningkatan kemahiran digital sektor awam dan swasta serta penyediaan akses teknologi dan latihan kepada semua.
Pelan Strategik Kementerian Digital turut menetapkan sasaran untuk membentuk masyarakat celik digital yang berdaya saing di peringkat global. Bagi mencapai matlamat ini, pelbagai inisiatif dan program telah digariskan oleh pihak kementerian termasuk pelaksanaan latihan, program kesedaran serta usaha meningkatkan akses digital secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Justeru, bagi memastikan segala inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, pelaksanaan Kajian Literasi Digital Negara adalah amat penting bagi menilai tahap semasa literasi digital rakyat, mengenalpasti jurang dan keperluan sokongan serta merangka strategi dan inisiatif yang lebih bersasar, inklusif dan berimpak tinggi. Kajian ini juga akan menjadi asas penting dalam memperkukuh usaha negara ke arah keterangkuman digital yang menyeluruh.
Pelaksanaan Kajian Literasi Digital Negara bertujuan untuk:
Mengkaji tahap kesedaran dan kefahaman terhadap literasi digital dalam kalangan masyarakat;
Mengenalpasti tahap penggunaan teknologi digital secara beretika dan selamat dalam kalangan masyarakat;
Memahami kemahiran menangani maklumat palsu dan penipuan digital dalam kalangan masyarakat;
Meneroka jurang digital antara lokasi bandar dan luar bandar;
Mengenalpasti cabaran dan potensi peningkatan literasi digital dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang; dan
Menjadikan input dapatan kajian sebagai persediaan ke arah pelaksanaan Indeks Literasi Digital.